Kalo nak,KLIK! Kalo xnak,KLIK JE..
HERBALIFE
BERMINAT MENCUBA HERBALIFE
Sila isi form di bawah >>>
Nama:
Email Anda:
NO H/P
Program Pilihan Turun berat badan
Naik berat badan
Improve kesihatan
Tambah tenaga
Improve skin
Jana pendapatan tambahan
Lokasi Anda

Monday, November 16, 2009

"PENGHAYATAN BULAN HAJI"


Di saat ini kita sudah pun berada di pertengahan bulan haji iaitu bulan Zulkaedah yang merupakan salah satu daripada bulan-bulan haji,di mana ada di antara bakal-bakal haji telah pun berlepas ke tanah suci Makkah Al-Mukarramah mengunjungi Baitullah bagi menunaikan ibadah haji dan ada juga yang sedang bersiap sedia untuk berangkat ke tanah suci.

Ibadat haji adalah merupakan salah satu rukun Islam yang lima dan diwajibkan keatas umat Islam yang berkemampuan dan memenuhi syarat-syaratnya untuk mengerjakannya. Firman Allah s.w.t:


"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah maha kaya (berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk".Ali-Imran ayat 97

Sementara itu, kewajipan haji diperkukuhkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh bahari dan muslim yang bermaksud:

"Agama itu dibina diatas lima perkara, bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji, berpuasa di bulan Ramadhan".

Berdasarkan kepada nas-nas diatas, maka para ulamak bersepakat mengenai ibadah haji yang mesti ditunaikan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan.Seandainya orang yang berkemampuan tapi enggan menunaikan ibadah tersebut, maka matinya sebagai yahudi atau nasrani. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Bermaksud: "Barangsiapa memiliki perbekalan (seperti wang yang cukup) dan kenderaan yang menyampaikannya ke Baitullah dan ia tidak mengerjakan haji, maka tidak ada atasnya satu halangan,bahawa ia akan mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani".
Riwayat At-Tarmizi

Perlu difahami, bahawa Allah s.w.t mewajibkan sesuatu ibadah itu kepada hamba-hambanya, maka sudah tentu ianya mempunyai hikmah dan kelebihannya yang tersendiri. Diantara kelebihan ibadah haji sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w dari Abu Hurairah :

"Sesiapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dengan tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat Fasik, maka dia suci daripada dosa-dosanya, seolah-olah dia kembali pada hari dilahirkan oleh ibunya".Riwayat Al-Bahari

Sabdanya lagi :

"Sesuatu ibadah imarah kepada sesuatu ibadah imarah yang lain, merupakan penghapusan dosa di antara keduanya. Haji yang Mabrur tiadalah baginya balasan melainkan syurga".
Riwayat Muslim

Jelaslah kepada kita bahawa ajaran Islam yang disyariatkan dalam mendidik jiwa dan keperibadian pengajaran disebaliknya, ia diiringi dengan Tarbiah Alami. Hakikat ini dapat dilihat dengan pensyariatan beberapa ibadah didalam Islam seperti solat dan puasa. Begitu jugalah yang berlaku terhadap ibadah haji, di mana keseluruhan amalan yang dilaksanakan adalah merupakan Tarbiah terhadap anggota jasad didalam mentaati perintah Allah s.w.t. Sebelum seorang hambanya berniat untuk menunaikan haji, mereka dibenarkan untuk memakai apa jua pakaian yang menutup aurat, tetapi setelah mereka berniat di miqat yang ditentukan, maka hanya pakaian yang tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dipakai. Begitu jugalah yang berlaku kepada amalan-amalan lain, yang pada asalnya dihalalkan sebelumnya, tetapi bertukar menjadi haram sewaktu mula dalam ihram seperti mencabut tumbuh-tumbuhan , menyembelih binatang, menggunting rambut,menjalin hubungan antara suami dan isteri dan sebagainya. Bukankah segalanya ini menguji tahap kesabaran seseorang itu dalam mentaati Allah?. Firman Allah s.w.t :

"( Masa untuk mengerjakan ibadah) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum (syawal,zulkaedah dan zulhijjah), oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadah haji itu, maka tidak boleh menyetubuhi isterinya, melakukan maksiat dan bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji tersebut. Apa sahaja kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah s.w.t. Bawalah bekal secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah), dan bertakwalah kepadaku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahami) "Al-Baqarah ayat 197

Selain itu, ibadah haji merupakan sebesar-besar peringatan yang mengingatkan orang-orang Islam tentang sejarah para Nabi yang terdahulu, terutamanya kisah keluarga Nabi Ibrahim a.s. Apabila berada di sisi Baitullah terbayang dalam pemikiran kita tentang kisah Nabi Ibrahim dan Ismail a.s sedang membina Baitullah dan gambaran Nabi Muhammad mencium Hajarul Aswad serta hancurnya patung-patung berhala di sekitarnya. Manakala dibukit Sofa dan Marwah membayangkan kepada kita tentang betapa peritnya Hajar a.s berlari-lari mencari setitis air untuk diberikan kepada anaknya Ismail a.s yang sedang kehausan. Di Mina, ketika berada diketiga-tiga tiang jamrah sewaktu ingin melontar, maka kita akan dapat menghayati sikap dan pendirian Nabi Ibrahim a.s yang ketika itu sedang menentang rayuan dan godaan syaitan yang cuba menghalang perbuatan baginda a.s disaat baginda ingin menyembelih anaknya Ismail a.s. Segalanya ini mengajak kita agar sama-sama mengkaji, merenung dan berfikir sejauh mana tahap kesetiaan kita kepada Allah s.w.t. Nabi Ibrahim a.s patuh apabila diarahkan oleh Allah s.w.t untuk meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Ismail a.s disebuah lembah yang tiada penghuni, tumbuh-tumbuhan dan air sebagai minuman, semata-mata menuruti perintah Allah s.w.t tanpa banyak alasan. Di dalam kitab Al-Bidayatu Wannihayatu jilid pertama, karangan Imam Al-Hafiz Ibnu Kathira menceritakan detik ketika mana isterinya Hajar ditinggalkan dan dibiarkan berada di lembah tersebut lantas ia berkata kepada suaminya:

"Allahkah yang memerintahkan kamu untuk berbuat demikian?. Jawab Ibrahim ya, lalu isterinya berkata : Oleh itu Allah s.w.t tidak akan mensia-siakan kami".

Antara hikmah lain, ibadah haji merupakan Muktamar atau perhimpunan umat islam daripada seluruh dunia. Mereka berhimpun tanpa mengira warna kulit, kedudukan, pangkat dan sebagainya. Mereka berzikir dengan ungkapan dan bahasa yang serupa. Laungan takbir, tahlil dan tahmid menjadi agenda utama. Oleh kerana ajaran islam tertegak atas dasar kasih sayang sesama umatnya, maka syariat seumpama ini diwujudkan. Didalam solat fardhu sebagai contohnya disyariatkan solat secara berjamaah. Pertemuan sebegini berlaku berulang kali dalam sehari.Bagi mewujudkan pertemuan secara mingguan pula, maka islam telah mensyariatkan kewajipan menunaikan Jumaat. Manakala pertemuan secara tahunan pula, maka ajaran Islam mensyariatkan kewajipan ibadah haji bagi mereka yang berkemampuan.

Secara umumnya, jelas menunjukkan kepada kita bahawa siri-siri pertemuan yang diatur oleh Allah s.w.t memberikan isyarat yang cukup penting kepada umatnya agar mereka bersatu dan tidak berpecah-belah. Mereka dapat berkenal-kenalan, saling bermaaf-maafan dan dapat menjalani kemesraan.

Firman Allah s.w.t:

"Sesungguhnya agama inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan akulah tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan daku".Al-Anbiyaa ayat 92

Sudah tiba masanya untuk kita melakukan sesuatu supaya beroleh keampunan dan rahmat dari Allah s.w.t. Terlalu banyak nikmat yang dianugerahkan kepada kita, lantas mengajak agar kita bersyukur kepadanya. Ramadhan telah pun berlalu, kini menjelang pula program haji yang penuh dengan beberapa pengajaran dan teladan yang perlu diselami.

Jikalau dahulu para Nabi dan Rasul teguh dalam melaksanakan misi dan amanah yang diberikan kepada mereka tanpa banyak bicara, maka minbar jumaat pada hari ini meminta agar sidang jumaat memuhasabah kembali setakat mana amanah yang telah diberikan dapat dipikul dengan sebaiknya. Pengorbanan yang ditunjukkan oleh Ibrahim a.s dan anaknya Ismail, sudah cukup menjadi bukti tentang kesabaran dan ketakwaan mereka berdua.

Bagaimana pula kita?, setakat mana pengorbanan yang telah kita curahkan untuk meraih saham diakhirat?. Sudahkah kita bersedia untuk bertemu dengan Allah yang maha esa?. Sebanyak manakah amalan yang telah kita himpunkan untuk mendapat redha daripadanya?. Banyak manakah ilmu agama yang telah kita miliki agar perjalanan yang dituju merupakan perjalanan yang dituju merupakan perjalanan yang diberkati dan mendapat hadiah ilahi?. Renungkan sejenak!. Wang dan harta yang banyak belum tentu boleh menjamin kebahagiaan diri kita, tetapi dengan ilmu yang diamalkan pasti dapat membantu meringankan bebanan diri kita diakhirat kelak.



Sumber dari : http://www.jais.gov.my

0 comments: